Friday 28 October 2011

ELAKKAN KESALAHAN UMUM TATABAHASA (1)

KATA BILANGAN

- Kata bilangan digunakan untuk menghitung sesuatu. Kata bilangan terbahagi kepada  
  beberapa jenis :
  a) kata bilangan tentu- satu, lima belas, seratus, tiga ribu, dan sebagainya 
  b) kata bilangan tak tentu-beberapa, para, semua, seluruh, dan sebagainya
  c) kata bilangan pecahan- setengah, suku, satu per tiga, dan sebagainya
  d) kata bilangan pisahan- masing-masing, setiap, tiap-tiap, dan sebagainya
  e) kata bilangan himpunan- berbagai-bagai, pelbagai, keenam-enam, dan sebagainya
  f ) kata bilangan tingkat- pertama, kedua, ketiga, keempat, dan sebagainya

Kesalahan yang lazim dilakukan


1. Kata berbagai-bagai tidak boleh disingkatkan menjadi berbagai.
    CONTOH :
    Berbagai jenis sayuran kampung dijual di pasar tani. [ SALAH ]
    Berbagai-bagai jenis sayuran kampung dijual di pasar tani. [ BETUL ]

2. Kata bilangan tiap-tiap tidak boleh disingkatkan menjadi tiap
    CONTOH :
    Tiap pagi Encik Amin menghantar anaknya ke sekolah [ SALAH ]
    Tiap-tiap pagi Encik Amin menghantar anaknya ke sekolah. [ BETUL ]

3. Kata bilangan sesetengah tidak boleh disingkatkan menjadi setengah
    CONTOH :
    Setengah orang tidak suka akan buah durian. [ SALAH ]
    Sesetengah orang tidak suka akan buah durian. [ BETUL ]

4. Kata para tidak boleh digandakan
    CONTOH :
    Para-para pemandu harus mematuhi undang-undang jalan raya. [ SALAH ]
    Para pemandu haris mematuhi undang-undang jalan raya. [ BETUL ]


KATA HUBUNG


- Kata hubung digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, klausa 
  dengan klausa, dan ayat dengan ayat.


- Kata hubung terbahagi kepada tiga jenis iaitu :


  1. Kata Hubung Gabungan- atau, dan, lalu, lantas, maka, sambil, serta, tetapi


  2. Kata Hubung Pancangan - agar, andaikata, apabila, bahawa, biarpun, hingga, jika,  
      kerana, lantaran, meskipun, sebelum, sehingga, sejak, seketika, sekiranya, selagi, 
      selama, sementara, supaya, tatkala, dan sebagainya


  3. Kata Hubung Berpasangan - baik...baik, baik...mahupun, biarpun...ataupun, bukan 
      sahaja...bahkan juga, makin...makin, jangankan...pun, semakin...semakin, sama 
      ada...ataupun, sedangkan...apatah lagi, dan sebagainya


Kesalahan yang lazim dilakukan


1. Kata hubung bila tidak boleh menggantikan kata hubung apabila
    CONTOH :
    Dia terkejut bila diumumkan sebagai pemidato terbaik. [SALAH]
    Dia terkejut apabila diumumkan sebagai pemidato terbaik. [BETUL]


2. Kata hubung agar dan supaya mendukung makna yang sama. Oleh itu, pilih salah satu 
    sahaja.
    CONTOH :
    "Berfikirlah baik-baik agar supaya tidak menyesal kemudian hari," nasihat ibu kepada 
     abang. [SALAH]
    "Berfikirlah baik-baik agar tidak menyesal kemudian hari," nasihat ibu kepada 
     abang. [BETUL]

    "Berfikirlah baik-baik supaya tidak menyesal kemudian hari," nasihat ibu kepada 
     abang. [BETUL]


3.  Kata sebab tergolong dalam kelas nama yang sama. Oleh itu, kata sebab tidak  
     sepatutnya 
     digunakan sebagai kata hubung, kata itu mestilah disertai kata sendi oleh.
     CONTOH :
     Faizal tidak ke sekolah sebab demam. [SALAH]
       Faizal tidak ke sekolah oleh sebab demam. [BETUL]

4.  Kata jika dan sekiranya mendukung makna yang sama. Oleh itu, pilih salah satu sahaja.
     CONTOH :
     Jika sekiranya tiada aral, kami akan bercuti di Pulau Tioman pada minggu depan. [SALAH]
       Jika tiada aral, kami akan bercuti di Pulau Tioman pada minggu depan. [BETUL]
     Sekiranya tiada aral, kami akan bercuti di Pulau Tioman pada minggu depan. [BETUL]

KATA SENDI


-   Kata sendi digunakan untuk merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa 
   yang lain.


-  Kata sendi letaknya di hadapan kata nama atau frasa nama.


-  Contoh kata sendi :
   
   (a) akan/kepada/terhadap - digunakan selepas kata adjektif yang menyatakan perasaan atau 
        sikap
   (b) bagi/untuk - digunakan untuk menentukan sesuatu yang dibezakan daripada yang lain
   (c) dari - digunakan untuk tempat dan masa 
   (d) daripada - digunakan untuk perbandingan, orang, asal kejadian, pertentangan, benda 
        abstrak, dan menunjukkan keanggotaan.
   (e) kepada - digunakan untuk orang atau kata ganti diri
   (f ) oleh - digunakan selepas kata kerja pasif yang berawalan di- dan ter-
   (g) pada - digunakan untuk masa, manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit 
        tertentu.


Kesalahan yang lazim dilakukan


1. Kata sendi hanya boleh disertai frasa nama sebagai objek untuk membentuk frasa sendi.
    CONTOH :
    Oleh kerana hujan turun dengan lebat, perlawanan bola sepak itu terpaksa dihentikan. [SALAH]
    Oleh sebab hujan turun dengan lebat, perlawanan bola sepak itu terpaksa dihentikan. [BETUL]


2. Sebagai kata yang merangkaikan kata frasa nama dengan frasa adjektif dan kata kerja tak 
    transitif, kata sendi tidak boleh dilenyapkan.
    CONTOH :
    Kita mesti hormat orang tua. [SALAH]
    Kita mesti hormat akan orang tua. [BETUL]


3. Kata sendi untuk dan demi tidak boleh digunakan secara berturut-turut. 
    CONTOH :
    Perajurit berjuang mati-matian demi untuk mempertahankan negara. [SALAH]
    Perajurit berjuang mati-matian demi  mempertahankan negara. [BETUL]
    Perajurit berjuang mati-matian untuk mempertahankan negara. [BETUL]


4. Kata sendi dengan tidak boleh digunakan selepas kata kerja pasif yang berawalan di- dan  
    ter-
    CONTOH :
    Kami amat terpegun dengan kepetahan kanak-kanak itu bercerita,. [SALAH]
     Kami amat terpegun oleh kepetahan kanak-kanak itu bercerita,. [BETUL]





No comments:

Post a Comment